14/12/2024
Pasangan suami isteri harung 7,000km perjalanan penuhi impian lawat Nusantara
Oleh Ili Shazwani Ihsan
Sepasang suami isteri memandu sejauh 7,165km merentas tiga negara bagi memenuhi hajat untuk melihat sendiri pembangunan ibu negara Indonesia yang baharu, Ibu Kota Nusantara (Nusantara) yang terletak di wilayah Kalimantan Timur.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang 17 hari ekspedisi, pasangan Lukman Awaluddin Nasution,31 dan isterinya Siti Faznur Khaleq,36, pemilik perusahaan perabot Brutti dan Badax tetap tekad penuhi impian yang sudah dirangka sejak lebih setahun lalu.
“Jadi, [walaupun berhadapan dengan] jalanraya sempit dan rosak, navigasi yang bermasalah kerana peta yang tidak dikemaskini serta kesukaran mendapatkan diesel, ia tidak mematahkan semangat,” kata Lukman kepada BenarNews.
Perjalanan bermula 18 November lalu dari Kota Kinabalu, Sabah menaiki kereta pacuan empat roda merentasi negeri Sarawak dan negara Brunei sebelum tiba di Indonesia.
“Lawatan ini antara bucketlist (senarai hajat). Kami nak melihat sendiri pembangunan ibu kota Nusantara, dari ‘zero’ (kawasan yang tidak maju) menjadi sebuah bandaraya yang moden,” kata Lukman.
Selain isteri, dia turut membawa bersama ibu bapanya bagi merasai pengalaman mengembara rentas negara.
Walaupun memenatkan kata Lukman, ianya tidak terasa apabila sampai ke Nusantara.
“Dapat dilihat meskipun pembangunan di sini pesat dan moden, kerajaan Indonesia tetap menumpukan perhatian kepada kelestarian alam sekitar dan warisan dalam landskap dan bangunannya,” tambah Lukman.
Pembinaan di Nusantara bermula sejak 2022 dan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur antaranya bertujuan mengurangkan kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas di Jakarta dan mengagihkan aktiviti ekonomi ke seluruh negara itu yang mana Malaysia sebagai negara jiran turut mendapat limpahan ekonomi.
Keterangan gambar: Lukman Awaluddin Nasution dan keluarga berhenti berehat di pekan Tayan,Kalimantan, Indonesia berlatar belakangkan Jambatan Tayan, 23 November, 2024 [Ihsan Siti Faznur Khaleq/BenarNews]