09/09/2026
KENYATAAN RASMI
Misi
9 September 2026
Misi Sasaran Serangan Siber Berniat Jahat — Orang Ramai Diminta Berwaspada
Misi ingin memaklumkan kepada pengguna dan orang awam bahawa syarikat kami kini menjadi sasaran serangan siber berniat jahat oleh pihak tidak bertanggungjawab, yang turut melibatkan penyebaran maklumat mengelirukan di media sosial.
1. Sifat serangan ini
Berdasarkan dapatan siasatan dalaman kami, tindakan ini merupakan serangan yang dirancang dan berniat jahat. Kami berpendapat tujuan tindakan ini bukanlah untuk menjual data pengguna Misi, sebaliknya untuk menjatuhkan reputasi Misi sebagai sebuah syarikat tempatan.
2. Dapatan siasatan teknikal kami
Pasukan teknikal kami telah menjalankan siasatan terperinci dan mengesan corak tindakan pihak berkenaan:
Pihak tersebut menggunakan pelayan persendirian maya (VPS) bagi menyembunyikan identiti sebenar — satu tindakan yang jelas menunjukkan niat untuk mengelak dikesan.
Dalam salah satu percubaan tersebut, pihak berkenaan telah secara tidak sengaja mendedahkan maklumat peribadinya kepada sistem kami.
Kesemua rekod aktiviti dan bahan bukti telah dipelihara dengan sewajarnya untuk tindakan undang-undang.
3. Aktiviti mencurigakan di media sosial — amaran kepada orang ramai
Kami telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat di media sosial, yang kini secara aktif mendesak orang ramai memasukkan maklumat peribadi mereka ke sebuah laman sesawang yang mencurigakan.
Kami menasihatkan orang ramai supaya jangan sesekali melayari atau memasukkan sebarang maklumat peribadi ke laman sesawang tersebut.
Pihak berkenaan dipercayai berniat jahat dan tindakannya amat mencurigakan. Laman sesawang tersebut tiada kaitan langsung dengan Misi, tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa, dan berkemungkinan digunakan untuk mengumpul maklumat peribadi orang ramai bagi tujuan yang tidak diketahui.
Ingat: Misi tidak akan meminta pengguna memasukkan maklumat peribadi, kata laluan atau kod OTP di mana-mana laman web selain saluran rasmi kami.
4. Dakwaan berkaitan versi aplikasi lama
Berhubung dakwaan mengenai analisis ke atas aplikasi Misi, kami mengesahkan bahawa versi yang dianalisis adalah versi lama yang sudah tidak lagi digunakan. Kesemua kunci akses (API key) dan konfigurasi berkaitan versi tersebut telah dikemas kini dan tidak lagi boleh digunakan untuk mencapai sistem kami.
Dakwaan yang cuba menggambarkan sebaliknya adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Pengguna dinasihatkan sentiasa menggunakan versi terkini aplikasi Misi daripada Google Play Store atau Apple App Store sahaja.
5. Keselamatan sistem Misi
Sistem Misi kekal selamat untuk digunakan. Pasukan teknikal kami sentiasa memperkukuh keselamatan platform secara berterusan, termasuk:
Kawalan capaian yang diperketat merentas keseluruhan sistem;
Perlindungan penyulitan (encryption) ke atas maklumat sensitif;
Kunci akses dan kelayakan sistem yang dinilai semula dan dikemas kini;
Pemantauan keselamatan yang diperhebat secara berterusan.
Tiada aktiviti mencurigakan dikesan ke atas sistem kami sejak langkah pengukuhan ini dilaksanakan.
6. Tindakan undang-undang
Kami memandang perkara ini dengan amat serius. Kesemua dapatan siasatan kami akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan kami turut melaksanakan proses pemberitahuan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) selaras dengan kehendak undang-undang.
Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa yang terlibat bagi membantu siasatan sehingga selesai.
Misi tidak akan berkompromi dalam melindungi pengguna dan integriti perkhidmatan kami. Memandangkan perkara ini kini dalam proses siasatan, kami tidak dapat memberikan butiran lanjut buat masa ini.
Pihak Pengurusan
Misi