29/11/2025
❤️🙏🏻
Mukah Muaythai dan Saga Nusantara Festival angkat Mukah sebagai pusat budaya dan sukan tempur
MUKAH: Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen P213 Mukah, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib menerima Kunjungan Hormat daripada jawatankuasa penganjur Saga Nusantara Festival dan Mukah Muaythai Festival.
Kunjungan tersebut diadakan bagi memaklumkan kepada YB Timbalan Menteri mengenai rancangan penganjuran tahunan program berkenaan serta hasrat untuk menjadikan Mukah sebagai tuan rumah rasmi bagi kedua-dua festival tersebut pada tahun hadapan.
Dalam sesi kunjungan itu, pihak penganjur menjelaskan bahawa Saga Nusantara Festival merupakan sebuah platform untuk mengetengahkan budaya dan warisan Melanau, khususnya dalam usaha menarik penyertaan generasi muda agar terus mengenali, menghayati dan memelihara identiti budaya kaum Melanau.
Manakala Mukah Muaythai Festival p**a dilihat sebagai penganjuran yang berpotensi mengangkat Mukah sebagai destinasi sukan tempur pada peringkat lebih tinggi. Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang untuk mengenal pasti dan mengasah bakat anak-anak muda Sarawak dalam sukan Muaythai, malah mampu menarik minat belia yang ingin menceburi sukan tersebut secara lebih serius.
YB Timbalan Menteri menyambut baik idea serta inisiatif berkenaan. Sebagai seorang yang berbangsa Melanau, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha persatuan dalam menganjurkan program yang memartabatkan budaya Melanau. Beliau turut berharap agar kedua-dua festival ini dapat dijadikan acara tahunan berimpak yang bukan sahaja memperkukuh semangat komuniti, malah mempromosikan Mukah sebagai pusat kebudayaan Melanau, sekali gus merancakkan ekonomi serta meningkatkan penglibatan masyarakat setempat.