10/08/2021
JUJUR DAN AMANAH DALAM BERNIAGA
Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama kita menuntut umatnya untuk mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal bagi memenuhi tuntutan dan keperluan hidup sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga atau orang-orang yang di bawah tanggungan kita. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 168:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِى ٱلۡأَرۡضِ حَلَـٰلاً۬ طَيِّبً۬ا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِۚ إِنَّهُ ۥ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ
صدق الله العظيم
“Wahai manusia! Makanlah makanan dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia (syaitan) adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
Ketahuilah, terdapat banyak cara atau jalan yang boleh dilakukan dalam mencari rezeki dan salah satu caranya ialah melalui bekerja sendiri atau berniaga. Contoh ikutan yang ideal kepada kita dalam perkara berniaga ini ialah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Baginda sebelum diutus menjadi rasul merupakan seorang usahawan dan ahli perniagaan yang hebat dan berjaya.
Antara perinsip atau etika perniagaan yang diamalkan oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ialah bersikap jujur dan amanah dalam perniagaan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah semasa baginda menjalankan dagangan Saidatina Khadijah, baginda memperolehi hasil keuntungan yang besar dan berlipat ganda.
Sesungguhnya sifat jujur dan amanah dalam apa juga pekerjaan terutama sekali dalam perniagaan adalah sangat penting kerana sifat-sifat tersebut dapat memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang munkar dan dosa. Ingatlah, kadangkala rezeki yang baik dan halal itu boleh tercemar dan menjadi haram jika kita tidak bersikap jujur dan amanah terutama dalam berniaga seperti menjual barang yang telah rosak, menjual barang yang telah luput atau mansuh tarikhnya, mengurangkan sukatan timbangaan dan sebagainya. Ingatlah, agama kita menegah umatnya daripada melakukan sebarang tipu daya atau helah ketika berjual beli.
Imam Al-Ghazali ada menyatakan di dalam kitabnya Al-Adabu Fiddin mengenai adab-adab ahli perniagaan, antaranya:
Pertama: Jangan mengurangkan sukatan atau timbangan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Mutaffin ayat 1-3:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَيۡلٌ۬ لِّلۡمُطَفِّفِينَ (١) ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكۡتَالُواْ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسۡتَوۡفُونَ (٢) وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ يُخۡسِرُونَ (٣)
صدق الله العظيم
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan. Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangnya.”
Memang diakui bahawa manusia itu memiliki kekurangan dan tidak mustahil boleh sahaja terjadi pengurangan tanpa disenghajakan. Jika seseorang itu telah berusaha untuk menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan baik, akan tetapi dia tersilap tanpa disenghajakan, maka tiadalah dia berdosa. Sungguhpun demikian, jika dia masih berasa was-was dan takut berlaku kecuaian yang tidak disenghajakan, maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah mengajarkan sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Qais bin Abu Gharazah Radiallahu Anhu, baginda bersabda:
يا معشر التجار إن الشيطان والإثم يحضران البيع، فشوموا بيعكم بالصدقة {رواه الإمام الترمذى}
Maksudnya:
Wahai para pedagang! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu selalu mendatangi jual beli. Maka campurkanlah jual belimu dengan sedekah.”
Dari hadis tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah mengejarkan kepada kita cara untuk mengelakkan diri kita dari sebarang kemungkinan melakukan kekurangan dalam sukatan atau timbangan, iaitu dengan menambah dan melebihkan sedikit barang yang kita timbang itu dalam sukatan atau timbangan tersebut. Dengan tambahan dan lebihan tersebut, selamatlah para peniaga daripada melakukan kesalahan pengurangan yang dilakukan secara tidak senghaja, dan jika pun ternyata sukatan atau timbangan itu sebenarnya telah mencukupi, maka tambahan itu akan menjadi sedekah. Bukankah ganjaran dari amalan sedekah itu sangat banyak?. Maka dengan amalan tersebut, mereka bukan sahaja mendapat ganjaran yang banyak daripada amalan sedekah, bahkan juga mendapat kepercayaan daripada pembeli dan orang ramai.
Kedua: Jangan berbohong dan menipu dalam urusan perniagaan.
Ketiga: Jauhi pertengkaran dengan pelanggan.
Keempat: Jangan melanggar perintah agama seperti meninggalkan sembahyang semata-mata kerana sibuk menguruskan perniagaan, tidak mengeluarkan zakat dan sebagainya.