23/12/2025
Pasti ramai yang masih terbayang watak pemilik rumah sewa yang garang dengan rambut kerinting dan rokok di bibir dalam filem Kung Fu Hustle itu. Sebenarnya pelakon bernama Yuen Qiu ini sudah bersara hampir 20 tahun dari dunia lakonan sebelum filem ini muncul. Dia hadir ke sesi ujibakat pada hari kejadian bukan untuk mencuba nasib tetapi sekadar menemani kawannya sahaja.
Semasa sedang menunggu giliran kawannya itu, dia duduk di satu sudut tepi sambil menghisap rokok dengan muka yang sangat bosan. Gelagatnya yang selamba dan sedikit sombong ketika memerhatikan orang lain itu tiba-tiba menarik perhatian Stephen Chow. Pengarah terkenal itu terus merasakan itulah aura natural dan spontan yang dia cari selama ini untuk watak tersebut.
Stephen Chow terpaksa berusaha keras memujuknya kerana Yuen Qiu pada mulanya menolak tawaran itu mentah-mentah. Dia lebih rela menghabiskan masa bermain mahjong dengan kawan-kawan daripada kembali berlakon dan penat di set penggambaran. Khabarnya Stephen Chow sanggup ke rumahnya dan terpaksa menunggu dia habis main mahjong semata-mata nak dapatkan persetujuan.
Demi menjayakan watak ikonik ini, dia akhirnya bersetuju dan sanggup menaikkan berat badan sebanyak 14 kilogram dalam masa dua bulan. Hasilnya lakonan bersahaja beliau menjadi sebutan ramai dan kekal diingati sehingga ke hari ini. Kadang-kadang rezeki itu memang datang dalam keadaan yang kita tidak sangka langsung dan pada waktu yang tepat.