24/03/2025
Selamat malam sahabat semua 🤗
INDAHNYA SABAR
Sabar merupakan salah satu asas kebahagiaan bagi seseorang yang akan memberikan ketenangan dan ketenteraman dalam jiwa manusia.
Sabar memiliki tiga perkara:
Pertama, sabar adalah memelihara (menetapkan) jiwa pada ketaatan kepada Allah dan selalu menjaganya, dan memeliharanya dengan keikhlasan serta memperbaikinya atau memperbaikinya dengan ilmu.
Kedua, sabar adalah menahan jiwa daripada maksiat dan keteguhannya dalam menghadapi syahwat dan ketahanannya terhadap hawa nafsu.
Ketiga, sabar adalah keredhaan kepada qada' dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa mengeluh padanya dan keputusasaan.
Jalan menuju Allah adalah jalan yang penuh dengan rintangan, sedangkan jiwa itu tidak dapat istiqamah atas perintah Allah dengan mudah. Maka, barang siapa yang ingin menundukkan dan mengekangnya, maka dia harus bersabar.
Sabar dalam ketaatan kepada Allah meliputi tiga hal, iaitu:
1. Sabar sebelum melakukan ketaatan tersebut, iaitu dengan niat yang benar, ikhlas dan bersih dari riyak.
2. Sabar ketika menjalankan ketaatan, iaitu dengan tidak lalai dalam melakukannya dan juga tidak bermalas-malasan.
3. Sabar setelah beramal, seseorang tersebut hendaknya tidak menjadi takjub dengan dirinya dan menampakkan apa yang ia punya dalam rangka sum’ah dan riyak. Ini kerana hal tersebut hanya akan menghapuskan amalan, pahala dan pengaruh-pengaruh yang seharusnya dia dapat.
Sabar dalam ketaatan kepada Allah antaranya adalah sabar dalam menuntut ilmu, sabar dalam mengamalkan dan sabar dalam mendakwahkannya.
Tiga hal ini terangkum dalam firman Allah Taala yang bermaksud:
“Demi masa, sesungguhnya seluruh manusia benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati untuk menetapkan kesabaran.” (Surah Al-Asr : 1-3)
Dalam surah tersebut, Allah menyatakan bahawa seluruh manusia itu berada dalam kerugian, kecuali manusia-manusia yang mempunyai dengan empat sifat tersebut.
Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda, “Neraka dikelilingi dengan syahwat (hal-hal yang menyenangkan nafsu), sedangkan syurga dikelilingi hal-hal yang tidak disenangi (nafsu).” (HR Bukhari)
Oleh kerana itu, barang siapa yang menginginkan syurga, maka dia harus bersiap untuk bersabar kerana syurga itu dikelilingi oleh hal-hal yang tidak disenangi oleh hawa nafsu.
Wallahualam
Sdr Syamsul Debat