24/01/2025
SYARIKAT ANAK MELAYU TEMPATAN MUNCUL SEBAGAI PENERAJU DALAM INDUSTRI MAKANAN ORGANIK!
Tidak ramai yang mengetahui bahawa di Malaysia hanya terdapat sembilan syarikat sahaja yang mendapat pengiktirafan Pensijilan Makanan Organik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pensijilan ini diberikan kepada produk makanan terproses yang dihasilkan secara organik tanpa menggunakan bahan kimia sintetik.
Lebih membanggakan, daripada sembilan syarikat tersebut, hanya satu syarikat milik anak Melayu tempatan iaitu Aafiyat Marketing Sdn Bhd, lebih dikenali dengan jenama Olive House. Anda boleh menemukan maklumat ini melalui laman sesawang KKM. Tahniah buat Olive House kerana berjaya mendapatkan Pensijilan Makanan Organik KKM sehingga Jun 2027!
Untuk mendapatkan pensijilan ini bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam industri makanan. Prosesnya jauh lebih rumit berbanding mendapatkan pensijilan seperti HALAL Jakim, MeSTI, atau MyFoodTag.
Olive House pertama kali berjaya dalam permohonan mereka pada tahun 2020, ketika Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pensijilan ini sah untuk tempoh tiga tahun sahaja dan perlu diperbaharui selepas itu. Proses pembaharuan tidaklah semudah memperbaharui lesen kenderaan.
Proses permohonan bermula dengan melengkapkan borang pembaharuan dan menyediakan semua dokumen sokongan yang diperlukan. Permohonan yang lengkap kemudian dikemukakan ke ibu pejabat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), KKM.
Proses semakan bermula sebaik pihak BKKM menerima semua dokumen. Jika terdapat dokumen yang tidak lengkap, ia akan dikembalikan kepada pemohon. Pemohon perlu memberi maklumbalas segera, dan jika dalam tempoh sebulan tiada maklumbalas, permohonan akan terbatal dan perlu dimohon semula.
Proses Pensijilan Makanan Organik KKM melibatkan sembilan langkah yang penuh cabaran:
1. Pelantikan auditor - Auditor dilantik dari pegawai negeri yang lain dari tempat pemohon.
2. Penetapan tarikh audit
3. Audit di premis - Menilai kepatuhan kepada standard organik. Jika terdapat ketidakpatuhan, syarikat perlu melakukan pembetulan dalam tempoh yang ditetapkan.
4. Sedia laporan audit dan dokumen pensijilan – auditor akan lampirkan bersama surat sokongan auditor untuk diserah kepada panel pelulus.
5. Panel pelulus terima laporan audit & dokumen pensijilan - Semakan laporan audit oleh panel pelulus
6. Kelulusan pensijilan - Panel pelulus mengeluarkan surat kelulusan pensijilan dan yuran kepada pemohon
7. Terima yuran sijil, proses resit dan sijil – Pemohon membuat pembayaran.
8. Tandatangan sijil – Pemohon menandatangani sijil
9. Penerimaan sijil oleh pemohon
Setiap langkah dalam proses ini mempunyai cabaran tersendiri. Untuk Olive House, cabaran pertama adalah mendapatkan tarikh audit yang sesuai supaya semua auditor dan pihak syarikat dapat berkumpul. Semasa audit, auditor menjalankan tugas dengan tegas dan cekap, mengenal pasti segala ketidakpatuhan yang perlu diperbetulkan oleh syarikat dalam tempoh yang ditetapkan.
Setelah pembetulan dilakukan dan maklumbalas diberikan, auditor akan membuat lawatan susulan. Jika masih terdapat ketidakpatuhan, pembetulan perlu dilakukan sehingga standard yang diperlukan dipenuhi. Proses ini amat menekan dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Selepas fasa dengan auditor selesai, fasa seterusnya berhadapan dengan panel pelulus. Banyak maklumbalas perlu dijawab sehingga panel berpuas hati. Dalam fasa ini, syarikat menghadapi beberapa pertikaian berkaitan akta dan peraturan dan perlu membuat pembuktian dan pembetulan.
Alhamdulillah Olive House akhirnya berjaya membuktikan mereka mematuhi kesemua kriteria yang diperlukan untuk disahkan layak menerima Pensijilan Makanan Organik KKM. Proses permohonan pembaharuan ini mengambil masa lebih dari enam bulan yang menuntut kerja keras dan kesabaran tinggi untuk memastikan permohonan mendapat kelulusan.
Kejayaan Olive House mendapat Pensijilan Makanan Organik KKM adalah inspirasi kepada kita semua. Ia menunjukkan bahawa dengan usaha gigih, komitmen kepada kualiti, dan tekad yang kuat, kita boleh mencapai kejayaan luar biasa.
Jadikan kisah Olive House sebagai dorongan untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa. Ingatlah, kejayaan tidak datang dengan mudah, tetapi dengan kerja keras dan dedikasi, kita boleh mencapai apa sahaja yang kita impikan.
Mari kita terus menyokong syarikat tempatan dan pada masa yang sama, syarikat memastikan produk mereka sentiasa berkualiti tinggi dan memenuhi standard yang ditetapkan. Dengan semangat ini, kita boleh membawa produk tempatan ke peringkat global dan membanggakan negara Malaysia di mata dunia.